KLANG 20 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, walaupun
berlaku insiden bakar gereja, surau dan membaling kepala babi di masjid
di beberapa tempat baru-baru ini, ia bukan menggambarkan gagasan
1Malaysia telah gagal.
Sebaliknya Perdana Menteri berkata, golongan ekstremis itu lambat
laun tidak akan diterima kerana rakyat menyokong gagasan satu negara,
satu rakyat dan satu Malaysia.
''Inilah semangat yang ada pada kita, jadi jangan rasa kecewa dengan
insiden-insiden tersebut.
''Saya janji kerajaan akan buat yang terbaik kepada rakyat. Berilah
kami peluang untuk membuktikannya," katanya.
Beliau menyuarakan jaminan itu ketika berucap di depan kira-kira
8,000 pengunjung pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina di
Jalan Chan Ah Choo, Pandamaran di sini malam ini.
Hadir sama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Penerangan,
Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim: Menteri
Pengangkutan yang juga Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat: Presiden
MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu, Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Soo
Koon dan menteri-menteri Kabinet.
Majlis bertemakan 1Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan
anjuran Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu
menyaksikan orang ramai terutama penduduk di kawasan Pandamaran
mengambil peluang beramah mesra dan bersalam dengan Perdana Menteri,
Najib dan isteri, tetamu kehormat serta masyarakat setempat bersama-sama
menyertai acara gaul 'yee sang' yang merupakan makanan tradisi ketika
makan besar pada malam sebelum sambutan Tahun Baru Cina.
Majlis diserikan dengan persembahan kebudayaan yang melibatkan tarian
muhibah oleh Kumpulan Sokagakai, tarian singa dan gendang 24 musim
serta persembahan artis seperti Gary Chow, Michael Wong dan Ning
Baizura.
Perdana Menteri berkata, sambutan luar biasa malam ini mencerminkan
masyarakat di Pandamaran mahu bersama-sama kerajaan menyambut Tahun Baru
Cina dan menggambarkan semangat gagasan 1Malaysia membara dalam
sanubari semua kaum.
Najib berkata, sambutan itu juga menafikan cakap-cakap sebelum ini
bahawa majlis tersebut tidak akan mendapat sambutan kerana pihak lain
turut menganjurkan majlis sama di Banting.
''Mereka turunkan gambar besar saya kononnya tak isi borang, tak ikut
peraturan jadi gambar kena turun. Mereka buat majlis lain supaya majlks
ini tidak ramai yang datang," katanya.
sumber dari Utusan Malaysia
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0221&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_03.htm
Sunday, February 21, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 respon:
Post a Comment