NIBONG TEBAL: Seorang pemandu jengkaut yang sedang menjalankan kerja-kerja mendalamkan Sungai Jawi di sini hari ini terperanjat besar apabila menemui satu bungkusan dengan sebelah kaki manusia terjulur keluar, terapung di permukaan sungai berkenaan, di Kampung Baru Valdor, Sungai Jawi di sini.
Mohd Haikal Abdullah, 25, berkata beliau kemudiannya memanggil rakannya bagi menyiasat isi kandungan bungkusan itu terlebih dahulu sebelum menghubungi polis.
"Sebaik melihat isi kandungannya, kami terkejut kerana tidak menyangka yang dalam bungkusan itu adalah mayat seorang lelaki, saya terus menghubungi polis," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Shafien Mamat berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 11.58 pagi dan terus bergegas ke tempat kejadian.
Katanya mayat lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditemui lengkap dengan seluar jean dan t-shirt berwarna kelabu, dan lelaki itu dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum dibuang dalam sungai berkenaan.
Harian Metro
Wednesday, March 10, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 respon:
Post a Comment