"Puji syukur untuk Allah yang melaksanakan sesuatu terhadap makhlukNya menurut kehendakNya."
"Wahai Mu'az,"
"Ya Sayyidal Mursalin."
"Aku akan menceritakan satu kisah kepadamu. Jika engkau menghafalnya
(mengambil perhatian), ia akan bermenafaat untukmu tapi kalau engkau
lupakan (tidak ambil berat) maka kamu tidak akan ada hujjah di hadapan
Allah kelak."
"Hai Muaz, Allah telah mencipta tujuh malaikat sebelum Dia mencipta
langit dan bumi. Setiap langit ada satu malaikat yang menjaga pintu
langit. Tiap-tiap pintu langit itu dijaga oleh malaikat penjaga pintu
mengikut kadar dan keagungannya."
Langit Pertama:
Malaikat yang memelihara amalan di hamba akan naik ke langit membawa
amal ke langit pertama. Penjaga akan berkata kepada malaikat Hafazah,
"Saya penjaga tukang umpat. Lemparkan balik amalan ini ke muka
pemiliknya kerana saya diperintahkan untuk tidak menerima amalan tukang
umpat."
Langit Kedua:
Esoknya malaikat Hafazah naik lagi membawa amalan si hamba. Di langit
kedua, penjaga pintunya berkata "Lemparkan balik amalan ini ke muka
pemiliknya sebab dia beramal mengharapkan keduniaan. Allah
memerintahkan supaya ditahan amalan ini jangan sampai lepas ke langit
yang lain."
Langit ketiga:
Kemudian malaikat Hafazah naik lagi ke langit ketiga membawa amalan
yang sungguh indah. Penjaga langit berkata "Lemparkan balik amalan ini
ke muka pemiliknya kerana dia seorang yang sombong."
Langit ke empat:
Berikutnya malaikat Hafazah membawa lagi amalan si hamba ke langit
keempat. Lalu penjaga langit itu berkata "Lemparkan balik amalan ini ke
muka empunyanya. Dia seorang yang ujub. Allah memerintahkan aku menahan
amalan Si Ujub."
Langit kelima:
Seterusnya amalan si hamba yang lulus ke langit kelima dalam keadaan
bercahaya-cahaya dengan jihad, haji, umrah dan lain-lain tetapi di
pintu langit penjaganya berkata "Ini adalah amalan tukang hasad. Dia
sangat benci pada nikmat yang Allah berikan pada hamba-hamba-Nya. Dia
tidak redha dengan kehendak Allah. Sebab itu Allah perintahkan
amalannya dilemparkan balik ke mukanya. Allah tidak terima amalan
pendengki dan hasad."
Langit keenam:
Di langit ke enam, penjaga pintu akan berkata "Saya penjaga rahmat.
Saya diperintahkan untuk melemparkan balik amalan yang indah ini ke
muka pemiliknya kerana dia tidak pernah mengasihi orang lain. Kalau
orang dapat musibah dia merasa senang. Sebab itu amalan ini jangan
melintasi langit ini."
Langit Ketujuh:
Malaikat Hafazah naik lagi membawa amalan si hamba yang dapat lepas
hingga ke langit ketujuh. Rupa cahaya bagaikan kilat, suaranya
bergemuruh. Di antara amalan itu ialah sembahyang, puasa, sedekah,
jihad, warak dan lain-lain. Tetapi penjaga pintu langit berkata "Saya
ini penjaga sum'ah (ingin mahsyur). Sesungguhnya si pengamal ini ingin
masyhur dalam kumpulan-kumpulan dan selalu ingin tinggi di saat
berkumpul dengan kawan-kawan yang sebaya dan ingin mendapat pengaruh
dari para pemimpin Allah memerintahkan padaku agar amalan ini jangan
melintasiku. Tiap-tiap amalan yang tidak akan menerima dan mengkabulkan
orang-orang yang riak."
Amalan yang melepasi langit ketujuh:
Kemudian malaikat Hafazah itu naik lagi dengan membawa amal si hamba
yakni sembahyang, puasa, zakat, haji, umrah, akhlak yang baik dan
pendiam, zikir pada Allah diiringi malaikat ke langit ketujuh hingga
sampai melintasi hijab-hijab dan sampailah ke hadrat Allah s.w.t.
Semua malaikat berdiri di hadapan Allah dan semua menyaksikan amalan
itu sebagai amalan soleh yang betul-betul ikhlas untuk Allah. Tetapi
firman Tuhan "Hafazah sekelian, pencatat amal hamba-Ku, Aku adalah
pengintip hatinya dan Aku lebih mengetahui apa yang dimaksudkan oleh
hamba-Ku ini dengan amalannya. Dia tidak ikhlas pada-Ku dengan
amalannya. Dia menipu orang lain, menipu kamu (malaikat Hafazah) tetapi
tidak boleh menipu Aku. Aku adalah Maha Mengetahui."
"Aku melihat segala isi hati dan tidak akan terlindung bagi-Ku apa saja
yang terlindung. Pengetahuan-Ku atas apa yang telah terjadi adalah sama
dengan pengetahuan-Ku atas apa yang bakal terjadi."
"Pengetahuan-Ku atas orang-orang yang terdahulu adalah sama dengan
pengetahuan-Ku atas orang-orang yang datang kemudian. Kalau begitu
bagaimana hamba-Ku ini menipu Aku dengan amalanya ini? Laknat-Ku tetap
padanya!"
ketujuh-tujuh malaikat berserta 3000 malaikat yang mengiringinya pun
berkata "Ya Tuhan, dengan demikian tetaplah laknat-Mu dan laknat kami
semua bagi mereka."
Dan semua yang di langit turut berkata "Tetaplah laknat Allah kepadanya dan laknat orang yang melaknat."
Apa Tindakan Yang Perlu?
Saidina Muaz (yang meriwayatkan hadis ini) kemudian menangis
teresak-esak dan berkata "Ya Rasulullah, bagaimana aku boleh selamat
dari apa yang diceritakan ini?"
Sabda Rasulullah "Hai Muaz, ikutilah Nabimu dalam soal keyakinan."
Muas bertanya kembali "Ya, tuan ini Rasulullah sedangkan saya ini hanya
Muaz bin Jabal. Bagaimanakah saya boleh selamat dan boleh lepas dari
bahaya tersebut?"
Bersabda Rasulullah:
"Ya begitulah....
1. kalau dalam amalanmu ada kelalaian maka tahanlah lidahmu jangan
sampai memburukkan orang lain. Ingatlah dirimu sendiri pun penuh dengan
aib.
2. Janganlah mengangkat diri dan menekan orang lain.
3. Jangan riyak dengan amal supaya amal itu diketahui orang.
4. Jangan termasuk orang yang mementiingkan dunia dengan melupakan akhirat.
5. Kamu jangan berbisik berdua ketika di sebelahmu ada orang lain yang tidak diajak berbisik
6. Jangan takabbur dengan orang lain, nanti luput amalanmu dunia dan akhirat
7. Jangan berkata kasar dalam suatu majlis dengan maksud supaya orang takut padamu.
8. Jangan mengungkit-ungkit apabila membuat kebaikan
9. Jangan merobekkan peribadi orang lain dengan mulutmu kelak engkau
akan dirobek-robek oleh anjing-anjing Jahannam sebagaimana firman Allah
yang bermaksud "Di neraka itu ada anjing-anjing perobek badan manusia."
Muaz bertanya lagi "Ya Rasulullah... siapa yang tahan menanggung penderitaan seperti itu?"
Jawab Rasulullah:
"Muaz, yang demikian itu akan mudah bagi mereka yang dimudahkan oleh
Allah s.w.t. Cukuplah untuk menghindarkan semua itu, kamu menyayangi
orang lain sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri dan benci apa yang
berlaku kepada orang lain apa-apa yang engkau benci berlaku pada
dirimu. Dengan demikian, kamu akan selamat dan dirimu pasti akan
terhindar."
Friday, February 5, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 respon:
Post a Comment