Baru-baru ini Iran melancarkan pelbagai program antaranya melancarkan program membawa haiwan hidup ke aeroangkasa lepas, pengayaan uranium dan melancarkan kapal pemusnah Jamaran yang berkeupayaan tinggi di Teluk Parsi.Hal itu cukup menakutkan pihak musuhnya, Israel dan sekutunya, Amerika Syarikat.
Oleh kerana itu juga Israel telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan adanya pesawat tanpa juruterbang. Jelas sekali Israel membuat gimik dengan menakutkan Iran dan kemungkinan besar telah bersiap siaga untuk berdepan dengan Iran yang ditakutinya...
Memetik sumber dari Utusan Malaysia,laporannya dibawah.
Israel miliki pesawat tanpa juruterbang lebih canggih
TEL AVIV 22 Feb. - Tentera udara Israel semalam memperkenalkan sejumlah pesawat tanpa juruterbang terbaru yang mampu berada di udara selama sehari dan boleh terbang sehingga ke Teluk Parsi, sekali gus meletakkan musuhnya Iran dalam jangkauan sasaran.
Pesawat senyap Heron TP itu mempunyai sayap berukuran 26 meter yang
menyamai saiz pesawat penumpang Boeing 737 dan merupakan pesawat tanpa
juruterbang terbesar dalam angkatan tentera Israel.
Pesawat berkenaan boleh terbang berterusan untuk sekurang-kurangnya
selama 20 jam dan tujuan utamanya ialah untuk melakukan kerja
pengawasan.
Dalam satu majlis pelancarannya di Pangkalan Tentera Udara Tel Nof
dekat sini semalam, pesawat berkenaan kelihatan begitu besar berbanding
pesawat pejuang F-15 yang diletak berdekatan.
Heron TP yang kelihatan mirip Heron iaitu pesawat tanpa juruterbang
sebelum ini juga milik Israel tetapi yang mampu terbang lebih tinggi
mencapai ketinggian 12,000 meter dan boleh berada lebih lama di udara.
''Dengan pelancaran Heron TP ini, kita merealisasikan mimpi tentera
udara,'' kata Brigedier Jeneral Amikan Norkin selaku Komander pangkalan
tentera tersebut.
Tentera Israel enggan mendedahkan jumlah pesawat tersebut atau sama
ada ia dibina untuk digunakan terhadap Iran tetapi menekankan ia boleh
diubah suai untuk pelbagai tujuan.
Para pegawai tentera Israel juga menyatakan, Heron TP boleh menjadi
alat yang amat berguna ke atas Iran.
Ia boleh digunakan untuk pengawasan, merosakkan sistem komunikasi
musuh, menghubungkan pusat kawalan darat dan membantu pesawat udara
lain.
Israel menganggap Iran sebagai ancaman disebabkan program nuklear
negara tersebut, di samping pemilikan peluru berpandu jarak jauh dan
kenyataan para pemimpin Iran untuk menghapuskan Israel.
Rejim Yahudi itu telah menyatakan kemungkinan menyerang Iran jika
tekanan antarabangsa tidak dapat menghentikan program nuklear negara
tersebut.
Israel dan Amerika Syarikat yakin Iran sedang cuba membina senjata
nukleur, walaupun negara tersebut telah berulang kali menyatakan bahawa
program nukleurnya adalah untuk tujuan keamanan.
Dalam beberapa konflik sebelum ini, pesawat tanpa juruterbang
didapati kurang berkesan apabila pihak lawan mempunyai senjata
anti-pesawat yang lebih canggih.
Sebagai contoh, dalam perang di Serbia pada 1999, angkatan tentera
negara itu dengan cepat menembak jatuh 42 pesawat seumpamanya yang
menurunkan secara drastik keberkesanan kempen pengeboman Pertubuhan
Perjanjian Atlantik Utara (NATO). - AP
article source :
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_02.htm
0 respon:
Post a Comment