Saturday, February 13, 2010
Pakatan pembangkang ibarat retak menanti belah
Published on
Saturday, February 13, 2010
0
respon
Dipetik dari Berita Harian Oleh Kamal Ahmad
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Rencana/20100211235754/Article/
PAS semakin gusar dengan krisis dalam gagasan pakatan pembangkang sekarang yang turut dikongsi DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Puncanya, krisis dua penjuru parti (DAP-PKR) dan hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan kerajaan pakatan.
Paling ketara, isu serangan peribadi terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, yang juga Setiausaha Agung DAP apabila dilabelkan sebagai cauvanis, berfikiran komunis dan diktator oleh pemimpin PKR sendiri selaku rakan kongsi kuasa di negeri itu.
Serangan tiga serangkai Ahli Parlimen PKR iaitu dari Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin; Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim serta Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng menunjukkan betapa parahnya krisis DAP dan PKR yang kini bagai retak menanti belah.
Pas juga kini berhati-hati berikutan sesi perbicaraan kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Parti Islam terbabit tidak mahu dilihat 'terlalu rapat dan bersekutu' dengan Ketua Pembangkang di Parlimen itu.
Langkah pertama – lari daripada bayang-bayang gagasan pakatan. Maka terpacul kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat, yang menyebut parti itu sedia berbincang dengan Umno membabitkan hal agama Islam. Kenyataan beliau berjaya membina garis pemisah antara Pas dengan PKR, sekali gus Anwar.
Tindakan Menteri Besar Kelantan itu dengan sengaja turut mencipta kemarahan DAP yang pasti tidak mahu Pas ada hubungan dengan Umno. Dengan itu, tindakannya berbaik dengan Umno akan dilihat lebih tulen. Walaupun belum lagi bersuara mengenai sikap terbaru Pas itu (kerana sibuk menepis serangan PKR), DAP sudah melihat satu lagi ketidaktentuan pendirian pemimpin Pas yang mungkin akhirnya akan dinilaikan sebagai rakan kongsi yang tidak baik.
Kenapa tiba-tiba Nik Aziz mahu berbincang dengan Umno dalam soal agama Islam selepas lebih 35 tahun mengisytiharkan 'jihad' terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN)? Sebenarnya, Pas bertanggungjawab terhadap kerosakan dalam hubungan dan minda umat Islam apabila mengeluarkan 'Amanat Haji Hadi' dan mengkafirkan ahli Umno.
Pas yang melebarkan jurang hubungan sesama umat Islam dengan memberi pelbagai label buruk pada orang selain ahli parti itu. Tetapi sekarang Pas mahu berbincang dengan Umno untuk menyelesaikan pelbagai isu dan masalah agama Islam yang pernah mereka tuduh diakibatkan oleh Umno.
Isu politik datang dan pergi. Nik Aziz sekali lagi berubah pendirian. Beliau membuka semula pintu rundingan yang sudah dikimpal atas alasan kepentingan agama. Hakikatnya, beliau mahu mencari dahan baru untuk Pas berpaut selepas PKR dan DAP dilihat tidak boleh diharapkan lagi kerana kerajaan yang ditunjangi parti itu masing-masing di Selangor dan Pulau Pinang, mula ditentang bukan saja rakyat malah di kalangan pemimpin pakatan sendiri.
Dengan kerjasama yang mahu dirintis Nik Aziz itu maka Pas tidak akan mengkritik dan melemahkan Umno menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 nanti. Dengan itu, Pas akan selamat dan terus hidup.
"Umno kena hati-hati dengan cadangan ini. Saya tidak percaya dengan lidah (pemimpin) Pas. Mereka hanya menanam tebu di tepi bibir. Mereka kini mencari tempat baru untuk bertaut. Inilah sikap hipokrit Pas," kata Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Idris Haron.
Seorang lagi Ahli MT Umno, Datuk Dr Fuad Zarkashi, mahu Nik Aziz memulakan langkah dengan mengemukakan cadangan berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. "Jika betul-betul wujud permuafakatan Umno-Pas maka ini baik untuk negara dan bukan saja Melayu. Ini patut dilihat secara serius. Saya secara peribadi menyokong perkara ini. Cuma, saya takut (sikap) Nik Aziz yang senang berubah akan menyebabkan perkara ini akhirnya tidak berlaku juga," katanya.
Namun beliau melihat kali ini seolah-olah ada 'peluang' apabila kenyataan Nik Aziz senada dengan Presidennya, Datuk Seri Hadi Awang walaupun ada suara sumbang di kalangan pemimpin parti itu yang menentangnya.
Pergolakan tiga penjuru Pas-DAP-PKR sekarang turut membuktikan beberapa hakikat mengenai gagasan parti pembangkang itu. Antaranya, Anwar hilang tumpuan kerana masalah peribadinya. Ini mengakibatkan beliau yang didakwa berpengaruh kini sudah tidak lagi dipedulikan.
Apa dan di mana paras Indeks Penunjuk Prestasi (KPI) Anwar apabila PKR lintang-pukang sedangkan mimpinya mahu mentadbir negara. Akibatnya, ramai pemimpin PKR meninggalkan parti itu. 'Sambutan dingin' penyokong ketika beliau melalui proses perbicaraan sekarang turut menunjukkan di mana tahap kewibawaannya.
Tidak ada lagi jeritan 'reformasi' seperti 1997 lalu. Selain itu, kedangkalan pengalaman, kemahiran dan bakat memimpin kalangan pemimpin PR akhirnya mencetuskan protes rakyat khususnya di Pulau Pinang dan Selangor. Ternyata, Pas turut tersepit dan menerima tempias teruk daripada kejadian buruk yang berlaku dalam DAP dan PKR.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 respon:
Post a Comment