Say (O Muhammad ) : "He is Allah, (the) One"Allah-us-Samad (The Self-Sufficient Master, Whom all creatures need, He neither eats nor drinks)."He begets not, nor was He begotten;"And there is none co-equal or comparable unto Him." (surah al-ikhlas,al-quran)

The Prophet (peace and blessings be upon him) said,

"Almighty Allah says, "I am –absolutely- in no need of partners. Whoever does a deed for the sake of others as well as Me, I leave that person and that deed." (Muslim)

Saturday, February 13, 2010

Membangun harta intelek sebagai sumber ekonomi berinovasi

0 respon

Dipetik dari Berita Harian Oleh Dr Zaini Ujang

MENURUT laporan Bank Dunia, harta sesebuah negara dalam bentuk pengetahuan teknologi, harta intelek, jenama dan institusi boleh menjangkau antara 60 hingga 80 peratus. Selebihnya ialah harta dalam bentuk aset fizikal dan konvensional seperti tanah, bangunan, modal kewangan, emas, kilang dan sebagainya.

Harta bukan aset fizikal menjadi semakin penting sebagai salah satu petunjuk daya saing dan inovasi sesebuah negara atau organisasi korporat. Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika berucap merasmikan Persidangan Ekonomi 1Malaysia di ibu negara, 8 Februari lalu menggesa diperhebatkan usaha menjana aset bukan fizikal dalam konteks ekonomi model baru berteraskan inovasi dan kreativiti yang sedang dibangunkan di Malaysia.

Sehubungan itu, model baru perlu dilaksanakan tidak lagi bergantung kepada dasar perlindungan tetapi berasaskan kepada kemahiran, teknologi, modal dan pasaran untuk membolehkan sesebuah industri tumbuh di Malaysia.


Bagi menjayakan model ekonomi baru itu, Najib menyebutkan tiga komponen utama, iaitu modal insan, modal swasta dan modal sosial. Modal insan boleh dibangunkan di kalangan warga tempatan menerusi program pendidikan formal, bukan formal dan tidak formal yang mantap, bermutu dan relevan dengan persekitaran inovatif dan kreatif.

Memang institusi pengajian tinggi (IPT) kritikal untuk lebih proaktif menyediakan ekosistem inovasi. Memang universiti selama ini dipertanggungjawabkan untuk membangunkan modal insan pada peringkat tinggi tetapi tugas itu juga perlu dibantu institusi lain khususnya sektor industri dalam konteks penyediaan pengalaman profesional dan dana penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Dalam hal ini, universiti juga semakin peka terhadap keperluan membantu membangunkan aset bukan fizikal khususnya harta intelek seperti paten, hak cipta, reka bentuk industri, cap dagang dan reka bentuk litar bersepadu. Dalam konteks IPT tempatan, inisiatif untuk memajukan harta intelek masih baru.

Setakat ini, sebagai contoh, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) adalah antara penyumbang utama harta intelek tempatan. Pada 2006, jumlah harta intelek hanya 23 didaftarkan. Dengan pelbagai langkah galakan, maka pada 2009 saja sebanyak 496 harta intelek didaftarkan. Jumlah ini dijangka terus meningkat dengan sasaran 2010 sebanyak 700 lagi.

Dari satu segi, memang Malaysia masih jauh ketinggalan dari segi pendaftaran harta intelek khususnya berkaitan inovasi dalam bidang teknologi hasil aktiviti R&D. Malah sebahagian besar syarikat utama yang tersenarai dalam Bursa Malaysia juga masih belum menunjukkan kemajuan dari segi harta intelek.

Dengan kata lain, aset syarikat berkenaan masih lagi berasaskan kepada aset fizikal dan konvensional. Hal ini sudah pasti tidak selari dengan perkembangan ekonomi model inovasi yang sedang dibangunkan oleh kerajaan pimpinan Najib. Untuk membolehkan harta intelek dibangunkan dengan lebih pesat, maka saya mencadangkan agar beberapa langkah strategik dilaksanakan segera.

Teratas dalam langkah strategik itu ialah kerjasama R&D lebih erat antara agensi penyelidikan dan badan korporat secara lebih sinergi. Untuk tujuan itu, aktiviti R&D yang berupaya menjana harta intelek perlu dipergiatkan misalnya menerusi penyelidikan kontrak, kerusi profesor tajaan industri, penempatan staf akademik di industri dan program pengajian siswazah berorientasi profesional. Hal ini menjadi satu kebiasaan khususnya universiti ternama seperti Harvard, MIT dan Stanford.

Selain itu, peranan agensi kerajaan juga penting menyokong perkembangan teknologi menerusi geran penyelidikan mencukupi dan kesediaan menggunakan teknologi baru yang masih belum teruji dalam pasaran.

Sebagai contoh, Lembah Silikon di San Francisco, Amerika Syarikat, pada 1909 Crwil Elwell, graduan Stanford membeli paten berkaitan teknologi transmisi dan menubuhkan Federal Telegraph Corporation (FTC). Seabad kemudian, FTC muncul sebagai pereka cipta sistem komunikasi radio terawal di dunia dan mendapat kontrak dengan Tentera Laut Amerika Syarikat pada 1912.

Banyak negeri cuba mencontohi perkembangan di Lembah Silikon, termasuk Malaysia. Memang ada hasilnya tetapi secara keseluruhannya masih belum sampai ke tahap menyerlah. Faktor utama kerana ketiadaan ekosistem yang merangsang aktiviti kreativiti dan inovasi.

Menurut CEO Stanford Research Institute (SRI), Dr Curt Carlson, Lembah Silikon meraikan bukan saja kejayaan malah kegagalan. Mereka yang gagal memajukan sesuatu idea akan didorong memperbaiki kelemahan dan terus mencuba lagi. Realitinya tidak ada stigma kepada kegagalan.

Selain itu, modal teroka untuk memulakan sesebuah syarikat baru perlu lebih lumayan dan menarik. Ketika ini, banyak mekanisme modal teroka tidak ubah seperti pinjaman konvensional menerusi institusi kewangan biasa. Hal ini tidak akan membantu penyuburan inovasi untuk menjana dan menggunakan harta intelek.

Sesungguhnya masih banyak yang perlu dilakukan untuk membolehkan Malaysia menjadi pemain utama dalam model ekonomi berteraskan inovasi. Masih jauh nampaknya perjalanan yang perlu kita lalui untuk menjana kekayaan dan aset bukan fizikal.

Tetapi matlamat dan laluan ke arah itu sudah diteroka Najib. Persoalannya mampukah kita memahami seterusnya menjayakan model ekonomi yang memerlukan perkembangan intelektual dan kreativiti nilai tinggi?





Profesor Zaini Ujang ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia dan penerima Anugerah Merdeka (Pencapaian Ulung Akademik) 2009


0 respon:

Related Posts with Thumbnails
blogspot statistics