KONSERT gabungan dua legenda rock, Search dan Wings di Stadium Larkin, Johor Bahru, esok (Sabtu) menghadirkan kejutan apabila nama Double Trouble ditukar kepada Konsert DT.
(Gambar Hiasan)
Konsert begitu dikenali peminat dengan nama Double Trouble diberi nama baru berikutan masalah sensitiviti nama itu. Penganjur akhirnya sepakat memberi nama baru tetapi maksudnya tetap tidak berubah. Persembahan Search dan Wings bermula jam 8 malam. Pengurus konsert, Zainurain Jaafar berkata, perubahan nama Double Trouble kepada Konsert DT tidak menjejaskan persiapan atau perancangan pentas dilakukan dua gergasi rock itu.
"Walaupun nama asal ditukar, persiapan konsert khusus untuk peminat di selatan tanah air tetap berjalan lancar. Sebagai dua legenda berpengaruh dalam persada muzik rock tempatan, kami menjangkakan sambutan diberikan tetap hangat seperti di Bukit Kiara Equestrian & Country Resort, Kuala Lumpur, 1 Mei lalu.
"Dengan venue lebih besar, konsert DT dapat menarik ramai rockers dan otai membesar bersama Search dan Wings. Pada konsert terakhir DT sebelum ini, lebih 3,000 peminat merungut tidak dapat masuk menyaksikannya kerana tempat terhad. "Kali ini, Stadium Larkin yang lebih besar mampu menampung 20,000 penonton. Menjadi lumrah, mana-mana konsert menampilkan imej solo atau berkumpulan terkenal, ada masalah teknikal dihadapi. Apapun, peminat tetap keutamaan penganjur dan kami tidak mahu mengecewakan mereka.
"Tiket menyaksikan DT masih boleh didapati di venue konsert," katanya. Peminat boleh mendapatkan tiket berharga RM70 yang dijual di kaunter tiket Stadium Larkin. Konsert pertama DT pada 1993 diadakan di Stadium Merdeka, menarik seramai 20,000 peminat.
Search dianggotai Amy (vokal), Kid dan Din sebagai gitar, Nasir (bass) dan Yazit (dram). Antara lagu dipersembahkan adalah Fantasia Bulan Madu, Isabella, Pawana dan Isi atau Kulit.
Wings menampilkan Awie (vokal), Black (dram), Eddy (bass) dan Joe (gitar) mendendangkan Taman Rashidah Utama, Misteri Mimpi Syakila, Bazooka Penaka dan Bernafas Dalam Lumpur.
Dua kumpulan akan mendendangkan lebih 14 lagu dengan empat medley serta sedikit pengubahsuaian.
Awie berkata, lagu kesukaan peminat di Kuala Lumpur dan Johor Bahru tidak sama menyebabkan mereka perlu merombak senarai lagu yang disampaikan.
"Kami mahu pastikan peminat terhibur. Konsert DT pasti gah kerana JB adalah City of Rock N Roll," katanya.
-Harian Metro-
0 respon:
Post a Comment